Wednesday, October 27, 2010

Kasih ayah

Kehidupan di perantauan pasti mengundang rindu yang tak terhingga pada keluarga di kampung. Dari kecil sehingga dewasa, aku tidak pernah berjauhan dengan mereka. Namun begitu, setelah tamat SPM dan mendapat tawaran ke IPTA, aku terpaksa juga merantau ke negeri orang. Aku memulakan hidup sebagai anak perantau di Kelantan selama 2 tahun dan seterusnya di Kuala Lumpur hampir 4 tahun. Beratus-ratus kilometer jauh daripada keluarga di kampung. Di sinilah aku survive sendirian. Makan, minum, pakai, sakit dan kerja-kerja lain aku urus sendiri. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar daripada mak, aku mampu buat semua kerja dengan mudah. Mujurlah aku jenis manusia yang berdikari dan tidak terlalu bergantung pada orang lain.
Keadaanku yang mengalami batuk-batuk yang tidak sembuh-sembuh ketika ini, membawa aku mengingat kembali memori berpuluh tahun yang lalu. Ketika itu aku masih berada di sekolah rendah. Suatu malam aku tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana batukku telah menyerang tanpa henti. Memang perit. Tidurku yang enak ketika itu terganggu. Mesti 'bengang' bukan. Tapi apa boleh aku lakukan. Sakit tetap datang juga. Keadaanku yang masih lali akibat mengantuk, masih sempat menangkap butir suara emak dan ayahku yang risau apabila mendengar batukkan anaknya. Lalu, ayahku bangun dari pembaringan, menuju ke dapur mencari sesuatu untuk dijadikan penawar untukku. Aku sungguh terharu dengan melihat keadaannya yang tidak berapa sihat akibat penyakit parkinsonnya. Ayahku sanggup bangun dari tidurnya semata-mata mahu melihat anaknya sembuh. Ayahku menyapu kapur yang telah dicampur asam jawa ke leherku supaya batukku reda. Alhamdulillah, selepas disapu ubat tersebut, aku mampu tidur dengan nyenyak sehingga ke subuh.
Itulah pengorbanan seorang ayah. Walaupun ayahku tidak melambakkan kemewahan kepadaku, tetapi aku tahu dia sangat menyayangi aku, begitu juga adik-beradikku yang lain. Ayahku selalu menggembirakan anak-anaknya. Melebihkan bahagian makanan untuk anak-anaknya. Biarlah ayah makan sikit, yang penting anak-anak dapat makan dengan puas. Begitu juga ketika aku masih di sekolah rendah, ayahku lah yang menggosok baju, menghantar dan mengambil aku dari sekolah. Sebelah malam kalau ayah tidak bekerja, dia akan mengajar aku mengaji Al-Quran. Ayahku ingin anak-anaknya berjaya di dunia dan juga di akhirat. Sehingga kini, ayahku masih melakukan beberapa kerja rumah. Pagi-pagi lagi ayahku sudah bangun, memasukkan baju-baju kotor ke dalam mesin basuh. Membasuh pinggan mangkuk di sinki dan membuang sampah ke tempat pembuangan sampah di belakang rumah.
Jika dikenang kembali, sudah beribu-ribu jasa ayahku padaku. Tapi aku hanya mampu membalas segala pengorbanannya dengan kiriman doa setiap kali solatku, semoga ayahku berada di bawah naungan Allah SWT. Aku akan berusaha membahagiakannya, menggembirakan hatinya dengan kejayaanku dan menjadi anak yang taat kerana dengan kasih sayangnya, telah membawa kebahagiaan dalam hidupku

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan...jemput singgah selalu ye..hehe!