Monday, January 17, 2011

CINTA - Part II

Seorang Muslim mencintai Rasulullah SAW kerana Baginda SAW, merupakan penyebab bagi dirinya mendapat hidayah menuju kebenaran dan terselamat daripada neraka. Seorang Muslim tidak akan memperoleh kemanisan iman sehingga ia menjadikan Allah dan RasulNya paling dicintai berbanding dengan selain kedua-duanya.

Antara doa Rasulullah SAW ialah : "Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu dan amalan yang dapat menyampaikan daku kepada cintaMU, wahai Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku sendiri, keluarga dan air yang dingin."

Antara perkara yang memenuhi hati seorang Muslim ialah cinta kepada keluarga, isteri dan kenikmatan yang halal. Dijelaskan dalam hadis yang mulia, "Sebaik-baik orang antara kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya dan aku ialah orang yang terbaik terhadap keluargaku."

Seorang Muslim juga mengasihi sahabat-sahabat dan saudara-saudara seislamnya dengan perasaan yang tulus kerana Allah, berdasarkan sabda Rasulullah SAW, "Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, kamu tidak akan memasuki syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman (dengan sempurna) sehingga kamu saling mencintai."

Seorang Muslim mencintai alam yang telah dicipta dan ditundukkkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya, semua yang ada dalam alam semesta ini dicintai oleh seorang Muslim. Tidak wujud pesimisme dalam akidah seorang Muslim terhadap makhluk sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang bodoh. Orang bodoh gemar melaknat keadaan gelap gelita dan memandang kegelapan dengan ketakutan, kebencian dan pesimisme. Bahkan kita sebaliknya mendapati bahawa Islam meninggikan seseorang Muslim sehingga tingkat yang tinggi. Ini bermakna, melihat alam semesta ini dan menjadikannya sebagai bukti bagi Pencipta langit dan bumi. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka". (Surah Ali Imran (3) : 191).

Sumber : Hamad Hassan Ruqait, Isu-isu semasa dari perspektif Islam.
Penterjemah : Prof. Dato' Dr. Zulkifli Hj. Mohd Yusoff.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan...jemput singgah selalu ye..hehe!