Jam menunjukkan angka 1.14 pagi, tapi mataku masih belum mengantuk. Kenapa? Kerana hatiku tersangat gembira. Mengapa? Alhamdulillah adik kembarku berjaya melepasi ujian MTeST untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI/j-Qaf). Bersyukur sangat-sangat kepada Allah SWT. Sudah tertulis rezeki adikku berjaya dalam ujian tersebut. Ini semua kerana perancanganNya. Mulut dan hati berkata tidak meminati bidang perguruan, tetapi ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya.
Petang sehari sebelum ujian MTeST, adikku menerima panggilan daripada bapa saudara kami. Katanya, adikku berjaya mendapat tawaran menduduki ujian tersebut. Kelam kabut jugak adikku waktu itu. Beliau hanya membuat persediaan ala kadar sahaja sebab masa terlalu suntuk. Itulah yang dinamakan rezeki. Kita merancang, tapi Allah SWT yang tentukan.
Berbekalkan niat yang ikhlas dan tawakkal kepada Allah SWT, adikku dengan penuh keyakinan melangkah juga kaki ke Institut Pendidikan Guru kampus Darul Aman, Jitra. Katanya, semua berjalan lancar semasa hari ujian tersebut. Syukur sekali lagi kepada Allah SWT dipermudahkan segalanya dalam tempoh 2 jam 30 minit. Adikku berjaya menjawab kesemua soalan yang diberi.
Beberapa minggu menanti, baru hari ini (3 Disember 2010) keputusan ujian tersebut keluar dan alhamdulillah adikku berjaya. Aku lantas menghubunginya untuk menucapkan tahniah. Bila ditanya, apa rahsia hang? Dia hanya tergelak kecil. Menjawab secara bergurau, "tengok orang la". Tapi aku dapat membuat kesimpulan bahawa tawakkal dan yakin sahaja kepada Allah SWT, insya-Allah semua lancar.
Selepas ini, adikku perlu pula menempuhi satu temuduga MEDSI 22 Disember nanti. Ia dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan untuk menapis calon-calon yang betul-betul berkelayakan menjadi seorang guru sebab cabaran guru dalam bidang pendidikan pada masa sekarang sangat mencabar kewibawaan. Pelbagai anasir-anasir luar sudah menular di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Oleh itu, sebelum menjadi guru, wajib bagi setiap guru pelatih membuat persediaan dari aspek mental dan fizikal. Lengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu selagi mampu semoga kita tenang menghadapi situasi getir dan berjaya menangani masalah yang berlaku.
Aku doakan semoga adikku berjaya dalam temuduga itu nanti dan menjadi seorang pendidik yang berkualiti. Begitu juga dengan aku kerana mendidik anak bangsa merupakan satu kebajikkan sebagai hambaNya dan wajib bagi aku untuk menunaikannya sebaik mungkin selagi terdaya. Bukan ganjaran gaji yang menjadi keutamaan aku, tetapi tanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu menjadi matlamat yang paling utama kerana aku percaya, setiap perkara yang kita lakukan ke jalan Allah SWT, pasti ada ganjaran yang akan diperolehi. Oleh itu, betulkan niat dan ikhlaskan hati semoga kita menjadi guru yang berkualiti serta memberi manfaat untuk pembangunan ummah.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan...jemput singgah selalu ye..hehe!